Tag: Sistem pesawat tanpa pemandu (UAS)

  • Tentera Laut Perancis jadi pengguna pertama Aliaca VTOL Airbus

    Tentera Laut Perancis jadi pengguna pertama Aliaca VTOL Airbus

    MARIGNANE, 3 FEBRUARI – Tentera Laut Perancis bakal menjadi pengguna pertama Sistem Udara Tanpa Pemandu (UAS) Aliaca versi vertical take-off and landing (VTOL) yang dibangunkan Airbus Helicopters.

    Airbus dalam kenyataannya memaklumkan, Direktorat Jeneral Persenjataan Perancis (DGA) telah menempah versi baharu SMDM atau Onboard Mini Aerial Drone Systems for the Navy melalui Survey Copter, anak syarikat Airbus Helicopters.

    Menurut syarikat itu, penghantaran versi baharu Aliaca VTOL dijadual bermula pada Mei 2026 selepas kempen ujian kelayakan.

    DGA tempah 34 sistem Aliaca sejak 2022

    DGA telah menempah sebanyak 34 sistem Aliaca untuk Tentera Laut Perancis sejak 2022. Versi terbaharu itu membolehkan Aliaca berlepas dan mendarat secara menegak, sekali gus mengurangkan keperluan sistem pelancar dan pemulihan.

    “Kami berbangga kerana dapat menghantar versi VTOL Aliaca kepada Tentera Laut Perancis buat kali pertama,” kata Pengarah Program Aliaca Airbus Helicopters, Christophe Canguilhem.

    Beliau berkata, Tentera Laut Perancis telah mengoperasikan Aliaca dari kapal dan darat sejak beberapa tahun lalu. Sistem itu dikenali sebagai SMDM dalam perkhidmatan Tentera Laut Perancis.

    Menurut Airbus, Aliaca VTOL diuji di darat dan laut pada akhir 2024 serta sepanjang 2025. Sistem itu diperkenalkan pada April 2025 dan dibangunkan dalam tempoh kurang setahun daripada versi Aliaca yang telah digunakan dalam operasi.


    Aliaca VTOl mempunyai kelebihan tersendiri untuk dioperasikan pada persekitaran kapal. Sumber: Airbus
    

    Fakta utama Aliaca VTOL

    Aliaca VTOL ialah dron taktikal mini yang mengekalkan mod pendorongan sayap tetap ketika melaksanakan misi, tetapi dilengkapi empat kipas untuk operasi berlepas dan mendarat secara menegak.

    Antara ciri-ciri utama Aliaca ialah:

    • Berat maksimum berlepas: 25 kilogram
    • Rentang sayap: 3.5 meter
    • Panjang: 2.1 meter
    • Tempoh penerbangan: dua jam
    • Jarak operasi: 50 kilometer
    • Muatan sensor: kamera dan sistem elektro-optik/inframerah berpenstabil giro
    • Sistem tambahan: Automatic Identification System untuk mengenal pasti kapal dalam radius beberapa ratus kilometer
    • Airbus memaklumkan, konfigurasi baharu SMDM itu mengekalkan prestasi dan seni bina sistem sedia ada. Pada masa sama, ia menawarkan penggunaan lebih pantas dan jejak logistik lebih kecil kerana tidak memerlukan sistem pelancar serta pemulihan.
    • Pengendali juga boleh menggunakan stesen kawalan darat yang sama seperti sistem sedia ada.

    Aliaca VTOL perluas operasi maritim Tentera Laut Perancis

    SMDM telah layak digunakan oleh DGA dan beroperasi sejak 2022 sebagai sistem pemerhatian jarak jauh Tentera Laut Perancis. Sistem itu kini melengkapi kapal peronda laut lepas, kapal peronda luar negara dan frigat pengawasan.

    Sejak musim panas 2023, sistem berkenaan turut digunakan dari pesisir Perancis untuk misi mencari dan menyelamat di Selat Inggeris.

    Menurut Airbus, versi VTOL akan melengkapi jenis kapal Tentera Laut Perancis yang lain bagi beberapa misi maritim, termasuk kesedaran situasi taktikal, menangani aktiviti haram, pemantauan trafik dan pantai, mencari dan menyelamat serta pengesanan tingkah laku mencurigakan.

    Dalam jangka panjang, sistem itu turut dijangka dikendalikan dari darat bagi menyokong rangkaian pengawasan pantai.

    Versi sayap tetap SMDM pula akan terus digunakan pada kapal yang telah dilengkapi sistem tersebut dan diselenggara dalam keadaan operasi sekurang-kurangnya tujuh tahun. – VANTAGE